Orang Utan Malaysia
Orang utan atau nama scientifiknya “Pongo” merupakan haiwan mamalia terbesar di dunia yang tinggal di pokok. Orang utan terbahagi kepada 3 spesies, iaitu orang utan Borneo ( Sabah dan Sarawak), orang utan Sumatera dan orang utan Tapanuli. Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) menyenaraikan orang utan dalam kategori spesies terancam sejak tahun 1986. Ini kerana taburan orang utan terhad di Sumatera dan Borneo sahaja. Orang utan mempunyai kulit yang hitam, bulu berwarna merah gelap dan panjang berbanding dengan bulu perang hitam yang terdapat pada gorilla. Lengan yang panjang, tangan dan kaki yang kuat memudahkan mereka menggenggam atau menghayun dari pokok ke pokok. Orang utan dapat hidup dalam lingkungan umur 35 hingga 45 tahun. Lazimnya, saiz orang utan jantan lebih besar berbanding dengan orang utan betina.
Pada waktu siang, orang utan menghabiskan sebahagian besar masa mereka untuk mencari makanan. Makanan utama atau kegemaran mereka ialah buah-buahan. Selain itu, pucuk muda, kekacang, bunga, serangga dan kadang-kadang telur haiwan seperti telur burung juga dijadikan makanan. Kebanyakan orang utan hidup di hutan primer dan sekunder lama. Terdapat juga orang utan yang hidup di kawasan pergunungan dan paya rendah. Setiap malam, orang utan tidur di atas dahan-dahan yang berlainan. Mereka akan membengkokkan ranting-ranting dan dahan-dahan di atas pokok untuk dijadikan tempat tidur.
Populasi orang utan kian terancam dan bakal pupus akibat akitiviti manusia seperti pembalakan, kebakaran hutan, pemburuan, pembinaan jalan raya, penerokaan tapak penanaman dan sebagainya. Kajian terbaru di Borneo mendapati populasi orang utan berkurang sebanyak 100,000 sejak tahun 1999. Kajian dari Jabatan Hidupan Liar Sabah menunjukkan hanya terdapat 13,000 ekor orang utan di seluruh negeri Sabah.
Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengiktirafkan sambutan Hari Spesies Terancam pada 15 Mei setiap tahun. Sambutan ini bertujuan untuk mengingatkan semua orang tentang status haiwan terancam dan usaha pemuliharaan haiwan dan habitat mereka. Oleh itu, kita sebagai warga bumi seharusnya berganding bahu untuk memelihara spesies orang utan yang kian pupus. Mengawal kepupusan haiwan adalah tanggungjawab semua.
Artis
Puan Nik Mahzon merupakan seorang guru yang telah berkhidmat selama hampir 29 tahun. Beliau sekarang sedang mengajar di salah sebuah sekolah di Maran, Pahang. Beliau seorang yang kreatif dan suka melukis di waktu lapang. Antara kemahiran yang beliau ada ialah melukis menggunakan aplikasi Powerpoint. Beliau juga ada menghasilkan karya sempena Hari Guru seperti kad ucapan digital dan dikongsikan bersama rakan guru melalui lama sosial Facebook.
Tarikh akhir: 31.01.2019
