Rama-rama Malaysia

Rama-rama adalah sejenis serangga yang mempunyai sayap yang berwarna-warni, bercorak dan menarik berbanding dengan kupu-kupu yang berwarna malap. Rama-rama berterbangan pada waktu siang. Ia mempunyai sepasang sesungut di atas kepalanya untuk mengesan angin dan bau dalam udara. Sesungut rama-rama berbentuk seperti pemukul golf yang membengkok pada hujungnya. Terdapat sepasang mata yang peka kepada spektrum ultraungu di bahagian hadapan kepala rama-rama.

Iklim tropika yang panas di Malaysia sesuai untuk kitaran hidup rama-rama berlaku sepanjang tahun. Kitaran hidup rama-rama mengambil masa sebulan atau setahun bergantung kepada spesis yang berlainan. Rama-rama membiak secara bertelur. Ia boleh bertelur sekali atau banyak kali setahun. Kitaran hidup rama-rama terdiri daripada empat bahagian, iaitu peringkat telur, larva, pupa dan dewasa. Umumnya, rama-rama hidup antara seminggu hingga sebulan malahan ada yang mampu hidup sehingga 9 bulan.

Sumber makanan utama rama-rama ialah nektar atau madu. Oleh itu, rama-rama suka hinggap di atas bunga. Selain itu, rama-rama juga mendapat makanan daripada bahan seperti debunga, air sap pokok, bahan reput, tahi haiwan dan bahan mineral yang berlarutan dalam pasir lembap atau tanah. Rama-rama berperanan penting dalam habitat alam semulajadi. Ia membantu dalam proses pendebungaan tanaman. Namun, sesetengah daripada mereka adalah perosak kerana beluncas akan memakan daun.

Random acts of kindness

Random acts of kindness atau boleh dikenali sebagai suatu perbuatan yang baik hati secara rawak, tanpa diduga atau dirancang dan ikhlas terhadap orang lain. Istilah ini juga boleh ditafsirkan sebagai suatu perbuatan amal atau bantuan yang diberikan kepada orang yang tidak dikenali tanpa mengharapkan balasan. National Random Acts of Kindness Day disambut pada 17 Februari setiap tahun. Sambutan ini kian mendapat tumpuan daripada golongan individu, kumpulan dan persatuan yang menggalakkan amalan berbuat baik kepada komuniti tanpa ganjaran. Sambutan ini bertujuan untuk menyaran orang ramai mengamalkan sikap baik hati terhadap masyarakat atau orang di sekeliling dan tidak hanya mengutamakan kepentingan diri sendiri. Justeru, apakah yang boleh kita lakukan untuk menyebarkan konsep berbuat baik ini? Banyak. Contohnya:

  1. Berikan tempat duduk anda semasa menaiki pengangkutan awam.
  2. Berikan senyuman kepada orang yang kita temui sama ada orang yang dikenali atau tidak.
  3. Menderma kepada rumah kebajikan atau orang yang memerlukan
  4. Membantu ahli keluarga membuat kerja rumah
  5. Memberitahu guru di sekolah betapa banyak anda menhargai didikan dan tunjuk ajar mereka
  6. Tulis nota atau mengucapkan terima kasih kepada golongan yang cenderung kita abaikan seperti pihak polis, bomba, tukang bersih, petani, nelayan dan sebagainya.

Bayangkan jika kita mampu membantu seseorang, dan orang yang dibantu pula membantu rakan yang lain, amalan kebaikan ini akan menular ke lingkungan yang lebih luas. Mereka yang sering mengamalkan amalan berbuat baik secara ikhlas mendapati bahawa mereka bukan sahaja menggembirakan orang lain tetapi juga membawa kegembiraan dan kebahagian kepada diri sendiri. Bagaimanakah perbuatan baik orang lain mempengaruhi kehidupan anda? Tuliskan pengalaman ringkas tentang perbuatan baik anda terhadap orang lain dalam ruangan yang disediakan pada lembaran mewarna. Anda juga boleh menceritakan peristiwa perbuatan baik orang lain terhadap anda dan perasaan anda.

Tarikh akhir: 28.02.2019